KEGAWATAN EKONOMI MENCETUS FENOMENA
(PART 6)
Apabila
mereka mula melaksanakannya, mereka tidak pasti sama ada kawalan itu akan
memberi sebarang kesan atau tidak. Mereka pun tidak tahu sama ada keputusan
mengenai pendaftaran wajib jual-beli saham CLOB boleh dilaksanakan atau
terbukti tidak praktikal.
Perlu ditegaskan bahawa sewaktu mereka mengambil keputusan
tersebut di dalam MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan untuk menyekat kegiatan
peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.
Dr Noordin Sopiee tampil dengan lebih 30 sebab mengapa mereka
tidak harus melaksanakan semua rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak
bersetuju dengan hujah itu, tetapi beliau mengemukakannya bagi mencabar
pemikiran mereka.
Tun terpaksa berhujah mematikan setiap bantahan yang beliau
kemukakan. Ahli MTEN yang lain menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan
sesetengahnya mengatakan bahawa langkah yang mereka cadangkan itu tidak pernah
dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini.
Memang betul ia berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan
mutlak mata wang ringgit. Pasaran gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit
dengan harga yang lebih murah daripada kadar yang mereka tetapkan. Kewangan dan
ekonomi negara mungkin menjunam dan tidak boleh dikawal lagi.
Mereka sama sekali tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi.
Bagaimanapun, hujah yang mengatakan mereka tidak patut melakukannya kerana ia
belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini mungkin sesuai bagi orang yang
penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu pastinya tidak sesuai bagi seorang
yang bertanggungjawab kepada negara dalam menghadapi saat kesukaran yang tidak
pernah dialami sebelum ini.
Ada orang membangkitkan bahawa wujud keadaan di mana penduduk di
kebanyakan negara membangun enggan dibayar dalam mata wang tempatan, sebaliknya
mereka mendesak agar dibayar dengan dolar Amerika. Ringgit juga mungkin ditolak
sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka nilainya tidak lebih tinggi daripada
harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.
Tun mendapat tahu kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah
memberitahu beberapa orang Menteri Besar supaya menghalang Tun daripada
meneruskan langkah yang dirancang. Malangnya, mereka tidak bersedia untuk
berdepan dengan Tun bagi berbahas mengenai perdagangan mata wang dan CLOB
kerana mereka tidak memahaminya.
Malah, pemahaman mereka juga sangat kurang mengenai betapa
kompleksnya langkah yang sedang mereka rancang dan risikonya. Kalau pun ada
antara mereka mempunyai keraguan yang berasas, mereka tidak berkebolehan untuk
menyatakan pandangan mereka.
Keadaan itu memberikan kelebihan kepada Tun. Tun berasa lega
dengan keputusan yang diambil, tetapi itu bukan bermakna Tun tidak bimbang
dengan kemungkinan rancangan mereka akan membawa bencana kepada negara.
Tun berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.
Tun berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar, termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.
Strategi mereka tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum
yang dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan
dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi mereka runtuh akibat daripadanya
maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong mereka. Tun sendiri mungkin
terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat Tun takuti.
Bagaimanapun, Tun lebih takut kepada kemungkinan mereka akan
hilang kawalan ke atas negara mereka sendiri seperti kerajaan Indonesia yang
hilang kuasa kepada IMF. Tun amat tidak suka melihat gambar Camdessus berdiri
berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan pemimpin
Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.
Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden
Suharto melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas
kedaulatan negara itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan
berani menentang Belanda pada 1940-an.
Tun tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Mereka
telah cuba memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.
Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung
rapat dengan Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya menasihatkan
Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.
Tun diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto
sudah tidak boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah
hilang pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi
setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.
Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai
yang terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang
Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke atas IMF
sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.
Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia,
langkah yang mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi
makanan dan minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih banyak
rusuhan berlaku.
Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga
menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara
selepas menyerah kepada IMF.
Tun tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF
yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu bahawa
mereka tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan. Semua faedah
dan keistimewaan dikurangkan dan langkah jimat cermat mula memberi kesan
negatif.
Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan
mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan
kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan
belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau mereka terus mengurangkan belanjawan maka
akan tiba masanya nanti mereka kehabisan wang di dalam Perbendaharaan.
Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan mereka mungkin terpaksa
menyerahkan kedaulatan ekonomi mereka kepada pihak luar.
Tun berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian
yang telah dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon Tun untuk
memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Timbalannya,
Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan jawatan. Tun terkejut, tetapi
tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang telah diputuskan.
Tun meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya
datang menemui Tun. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong
Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan pasaran
mata wang serta kawalan tukaran asing .(3)
Tun kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Mereka kesuntukan masa
untuk mencari Gabenor baru, jadi Tun serta-merta melantik beliau menjadi
Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman Tun dan Tun jelaskan kepadanya apa
yang sedang berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.
Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh
kerjasama. Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan semua
pemindahan besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang. Dalam pada
itu, beliau juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi perniagaan biasa
diteruskan.
Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan
kawalan mata wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu
media massa: “Mereka perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat
antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang bermakna
kepada keadaan huru-hara kewangan global. Sebaik-baiknya dunia patut bertindak
seiringan dan bukannya memaksa negara bertindak sendirian.”
Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput
untuk menyertai MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan
semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah
memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank Pusat.
Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan
munculnya pasaran gelap mata wang ringgit. Mereka memantau harga barang bagi
memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Mereka
memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah mencukupi.
Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya
mendepositkan semua tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan
itu, mereka tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada
pengimport tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi
setiap dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti
baik bagi pengimport serta pengeksport.
Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar
RM3.80 setiap kali mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka
juga selesa dengan jaminan bahawa mereka akan mengekalkan kadar tukaran
sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka kini boleh merangka
belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan diri dalam kegiatan
melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan kos menjalankan
perniagaan.
Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan
menghentikan penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat pemegang
amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL. Dalam jangka masa
singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di bawah 300 mata telah naik semula
kepada lebih 800 mata.
Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar
dinaikkan semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda
pemulihan.
Sewaktu krisis, mereka memperkenalkan beberapa langkah bagi
mengurangkan masalah yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku
maka mereka menganjurkan kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju,
pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi pertama,
kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.
Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka mereka
memutuskan supaya dibina 40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni
setinggan. Memandangkan jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang
sepatutnya maka mereka menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di mana
perlu, mereka membantu mereka merundingkan bekalan pada harga yang lebih murah.
Di samping itu, mereka meneliti laporan penggunaan elektrik,
pergerakan kargo dan kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal
terbang, pendaftaran kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi mereka tahu secara
terperinci prestasi ekonomi dan sering mencari jalan untuk merangsangnya.
MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta
Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang
Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang lapuk serta
permodalan semula bank.
Mereka tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang
diperoleh melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham.
Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian mereka
menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli saham berkenaan, memantau
kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara beransur-ansur supaya tidak
mengganggu harga saham di BSKL.
Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira.
Namun, hasil pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus
sewaktu syarikat khas yang mereka tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.
Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar
kewangan yang amat mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual
saham mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut
membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan dalam
usaha menyelamat yang berani.
Dunia mengutuk kawalan mata wang yang mereka lakukan dan ramai
ahli ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan terbuka.
Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira menunggu
kepulangan mereka ke pasaran dunia sebagai pengemis.
Mereka bagaimanapun tidak gentar. Mereka percaya yang mereka
telah menemui jawapan tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata
wang. Cara mereka mungkin tidak konvensional, tetapi berkesan.
Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi mereka,
yang lebih utama adalah menyelamatkan negara dan diri mereka. Akhirnya, mereka
pulih dengan lebih cepat daripada semua negara yang menerima pinjaman IMF, sama
ada secara sukarela atau kerana tekanan. Negara-negara itu telah menyerah diri
kepada langkah penyelesaian yang sama untuk semua.
Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun
akhirnya mengakui yang cara mereka berkesan walaupun mereka tidak
memperakukannya kepada negara lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel,
Joseph Stiglitz menyokong pandangan mereka.(4)
Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil
langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada IMF.
Dasar yang mereka laksanakan berkesan untuk negara mereka,
tetapi tidak banyak negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan mereka.
Ia berkesan bagi mereka kerana selain keazaman politik dan kepakaran merangka
dasar yang praktikal, mereka juga mempunyai simpanan mata wang asing yang
banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi melindungi kedaulatan ekonomi mereka.
Selain itu, mereka mempunyai simpanan yang besar hasil pengurusan ekonomi yang
bertanggungjawab selama ini.
Kejayaan mereka menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak
campur tangan IMF bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas mereka pada masa
itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh kerajaan
dan ketetapan dasar yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad 70-an dan 80-an.
Itu sahaja yang dapat dipetik daripada Memoir Tun Dr. Mahathir.
Itu sahaja yang dapat dipetik daripada Memoir Tun Dr. Mahathir.
No comments:
Post a Comment