Sunday, 24 May 2015

KEGAWATAN EKONOMI MENCETUS FENOMENA 
(PART 3)

            Tun membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Tun yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata wang mereka.
Tun pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa beliau.
Tun meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Tun berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Tun tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi Tun, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.
Mereka bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari ini, mereka guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan mereka guna wang untuk membeli-belah.
Tun teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.
Bagaimanapun, apakah mereka perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah Tun menerima secara literal klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.
Sebagai seorang doktor,Tun tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).
Bagaimanapun, Tun belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.
Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.
Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.
Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.
Bagi Tun, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.
Mereka terpaksa menerima keadaan itu walaupun mereka tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.
Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atauhedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan yang penuh rahsia?
Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?
Mereka tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.

Sambungan .. Kegawatan Ekonomi Mencetus Fenomena (PART 4)

No comments:

Post a Comment